SELANGAU, 4 Jun: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Lemai Basai, Balingian, ditemui terapung hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, Lembat Antas, 47, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi perahu miliknya pada jam 2.30 petang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.35 petang,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa keluar memancing pada jam 9 pagi Isnin, namun tidak pulang ke rumah, sebelum laporan polis dibuat oleh ahli keluarga.