Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Calon Parti Demokrat (DP) Lee Jae-myung pasti akan memenangi pilihan raya presiden apabila kiraan undi melepasi separuh daripada jumlah keseluruhan, lapor agensi berita Yonhap. Foto AFP

Lee Jae-Myung pasti menang pilihan raya presiden Korea Selatan

ByBernama

SEOUL, 4 Jun: Calon Parti Demokrat (DP) Lee Jae-myung pasti akan memenangi pilihan raya presiden apabila kiraan undi melepasi separuh daripada jumlah keseluruhan, lapor agensi berita Yonhap.

Bercakap kepada wartawan di luar kediamannya di Incheon, barat Seoul, Lee berkata walaupun masih awal, beliau menghormati “keputusan besar rakyat.”

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepada saya agar tidak mengecewakan harapan rakyat,” katanya sebelum tunduk bersama isterinya, Kim Hye-kyung dan menaiki kereta menuju ke Yeouido, Seoul yang menempatkan Bangunan Parlimen.

Dengan 50 peratus undi dikira, Lee daripada DP meraih 48.99 peratus undi, mengatasi calon Parti Kuasa Rakyat (PPP) Kim Moon-soo yang memperoleh 42.64 peratus. Mengekori di tempat ketiga ialah Lee Jun-seok daripada Parti Reformasi Baharu dengan 7.33 peratus.

Saluran penyiaran KBS, MBC dan SBS mengunjurkan kemenangan pasti buat Lee Jae-myung dalam pilihan raya awal itu susulan penyingkiran bekas Presiden Yoon Suk Yeol berikutan cubaan melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.

Lee daripada DP berkempen dengan ikrar untuk mengatasi “kuasa pemberontakan” yang diketuai Yoon selepas penyingkirannya, kurang tiga tahun menjawat jawatan presiden dalam penggal lima tahun.

Sementara itu, Kim memanfaatkan perbicaraan yang masih berjalan membabitkan Lee dan gaya kepimpinannya yang agresif untuk menjanjikan masa depan tanpa “kediktatoran.”

Pemberian suara eksit mengunjurkan kemenangan Lee dengan margin 12.4 mata peratusan, mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh dalam bilik gerakan kempen DP di Bangunan Parlimen.

Daripada keseluruhan 44.39 juta pengundi berdaftar di seluruh negara, seramai 35.24 juta atau 79.4 peratus telah mengundi, kadar tertinggi sejak pilihan raya 1997 yang merekodkan 80.7 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC).

Dalam pilihan raya yang menjadi tumpuan itu, Polis Metropolitan Seoul memaklumkan menerima 81 laporan pelanggaran undang-undang pilihan raya setakat 3 petang, menurut Yonhap.

Proses pengiraan undi bermula sejurus pusat pengundian ditutup pada 8 malam Selasa dan dijangka selesai sekitar 6 pagi Rabu, menurut NEC.

Sebaik sahaja pengiraan undi selesai, NEC akan mengadakan mesyuarat pleno antara 7 hingga 9 pagi bagi mengesahkan keputusan pilihan raya.

Memandangkan pilihan raya ini diadakan lebih awal untuk menggantikan Yoon, presiden baharu akan mula bertugas serta-merta tanpa tempoh peralihan.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung beberapa jam kemudian di Bangunan Parlimen, namun butiran lanjut akan diumumkan selepas keputusan rasmi disahkan.

Seramai lima calon bertanding untuk jawatan politik tertinggi negara itu selepas dua calon menarik diri semasa tempoh kempen. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan