LAWAS, 4 Jun: Rakyat perlu menghargai usaha kerajaan yang mengiktiraf pelbagai perayaan utama bagi setiap suku kaum di negara ini, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Malaysia.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata pengiktirafan terhadap sambutan perayaan pelbagai kaum perlu dimanfaatkan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara etnik dan membina keharmonian masyarakat majmuk.
“Selain perayaan Aco Lun Bawang, masyarakat Tionghua ada Tahun Baharu Cina, manakala umat Islam menyambut Hari Raya. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat pelbagai kaum.
“Rakyat harus melihat perkara ini secara positif dan memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya semasa berucap pada majlis penangguhan Irau Aco Lun Bawang ke-38 di Stadium Tertutup Lawas, malam tadi.
Henry Sum yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata masyarakat Lun Bawang perlu menjadi agen perpaduan agar negeri dan negara dapat terus bergerak maju tanpa diganggu isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.
Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Lun Bawang Sarawak daripada kementerian berkenaan, serta tambahan RM20,000 daripada peruntukan beliau selaku Ahli Parlimen Lawas.