KUALA LUMPUR, 4 Jun: Cypark Resources Berhad (Cypark) semalam mengumumkan dua pelantikan baharu ke dalam lembaga pengarah sekali gus meningkatkan jumlah ahli daripada lima kepada tujuh orang.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen Cypark terhadap tadbir urus korporat yang mantap dan kepimpinan teknikal kukuh sejajar dengan peranan syarikat sebagai peneraju tenaga boleh baharu di Malaysia.
Pelantikan tersebut dijangka mempercepatkan sumbangan Cypark dalam menjayakan peralihan tenaga negara.
Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dan Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa pada 9 Jun 2025.
Pelantikan tersebut bertepatan dengan peralihan peranan Dato Hamidah Moris (Dato Ami Moris) daripada Pengerusi kepada Pengarah Urusan Kumpulan dalam usaha memperkukuh pelaksanaan strategi dan operasi syarikat.
Langkah strategik tersebut menandakan peneguhan kawalan bebas dan pemerkasaan terhadap kepimpinan eksekutif yang berwibawa.
Pemisahan antara jawatan Pengerusi dan Pengarah Urusan adalah selaras dengan amalan terbaik tadbir urus korporat, menjamin ketelusan dan akauntabiliti khususnya dalam konteks syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Bagi menyokong aspirasi teknikal syarikat yang kian berkembang, Dato Dr. Gue See Sew turut dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas juga berkuat kuasa 9 Jun 2025.
Kepakaran beliau dalam kejuruteraan awam dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa akan memperkukuh keupayaan Cypark untuk melaksanakan penyelesaian tenaga yang kompleks dan inovatif.
Sementara itu, Abdul Wahid merupakan tokoh tersohor dalam sektor awam dan swasta dengan pengalaman terdahulu sebagai Pengerusi Bursa Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perancangan Ekonomi), Pengerusi Kumpulan PNB, Presiden dan CEO Maybank, CEO Kumpulan Telekom Malaysia serta Pengarah Urusan/CEO Kumpulan UEM.
Kini, beliau mengetuai usaha pemuliharaan dan kelestarian sebagai Pengerusi WWF Malaysia dan Yayasan MySDG.
Kepimpinan beliau dijangka memberikan arah tuju strategik dan bimbingan berwibawa dalam fasa pertumbuhan baharu Cypark.
Gue pula adalah tokoh terkemuka dalam bidang kejuruteraan, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Oxford dan merupakan Pengasas Bersama serta Pengarah G&P Professionals, sebuah firma perunding kejuruteraan pelbagai disiplin.
Beliau kini mempengerusikan Panel Penasihat Teknikal untuk Pulau Pinang dan bertindak sebagai Penasihat Teknikal kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Antara jawatan antarabangsa yang pernah disandang termasuk Pengerusi Perjanjian Jurutera Profesional Antarabangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Jurutera APEC bagi dua penggal.
Menurut Ami Moris, Cypark kini bersedia untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Dalam tempoh 12 bulan yang lalu, kami telah menambah kapasiti tenaga solar sebanyak 270MWp dan meningkatkan prestasi penjanaan tenaga daripada loji sisa kepada tenaga sebanyak 25 peratus.
Pencapaian ini mencerminkan keteguhan lembaga baharu yang dibentuk pada 2024 dan komitmen pasukan kepimpinan kami terhadap kecemerlangan,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan pengalaman luas Abdul Wahid dalam tadbir urus dan kepakaran teknikal Gue, Cypark terus komited membentuk masa depan tenaga bersih Malaysia berteraskan integriti, inovasi dan impak.-TVS