TAWAU, 4 Jun: Seramai 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia dalam satu operasi terbaharu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Menurut kenyataan JIM Sabah, mereka yang dihantar pulang terdiri daripada 104 lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak terbabit dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga sah masing-masing.
Semua PATI berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau menggunakan perkhidmatan feri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia di Pelabuhan Nunukan.
Siasatan mendapati mereka melanggar Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Setiap tahanan disenaraihitamkan mengikut kesalahan masing-masing dan hanya dipindahkan selepas selesai menjalani hukuman serta melengkapkan dokumen perjalanan,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, sebanyak 1,173 PATI warga Indonesia telah dihantar pulang melalui laluan laut bagi tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan sejak program itu dilaksanakan kepada 6,053 orang.
Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan atau pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk pemilik premis dan individu yang menyalahgunakan pas,” kata kenyataan itu.