BUTTERWORTH, 3 Jun: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan wang dan rokok secara berkumpulan ke atas sebuah kedai serbaneka pada Mac lalu.
Tertuduh yang kesemuanya berumur 23 tahun, Abdul Rahman Abdul Ali, P. Jayadev dan M. Loganathan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki berusia 19 tahun menggunakan kayu cota dengan mengambil wang tunai dan rokok milik 7 Eleven Malaysia Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis 7 Eleven Taman Seri Emas Indah, Nibong Tebal dekat sini kira-kira pukul 6.04 pagi pada 15 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya, manakala Abdul Rahman diwakili peguam C. Hari Prassaad Rao dan dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, Abdul Rahman dan Jayadev turut berdepan pertuduhan lain iaitu melakukan rompakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun kira-kira pukul 4 pagi pada 24 April lalu di sebuah kediaman di Taman Pekaka, Nibong Tebal.
Mereka yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain hendaklah dikenakan denda atau sebat.
Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000.
Dalam pada itu, Abdul Rahman yang mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 46 tahun ketika merompak sebuah kediaman di Taman Sempadan, Nibong Tebal pada pukul 4 pagi, 9 Mac lalu dikenakan jaminan tambahan RM10,000.
Kesemua kes itu akan disebut semula 1 Julai depan. – TVS.