BAU, 3 Jun: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di P-Turn, Kampung Jugan, Jalan Pan Borneo Bau-Lundu di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Nelson Phang Siaw Ming berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.09 malam dengan mengerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan, sebuah Toyota Hilux, sebuah Nissan Navara dan sebuah Kia Forte.
“Seramai empat mangsa iaitu seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan menaiki Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami cedera ringan telah dibawa ke hospital Bau oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lelaki memandu kenderaan Nissan Navara mengalami cedera ringan dibawa ke hospital Bau oleh orang awam.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan pemandu kenderaan Kia Forte seorang lelaki yang tersepit dalam kenderaan mengunakan ’rescue tools’,” ujarnya.
Katanya, mangsa Chang Chun Jie berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM.
Pihak bomba membuat kerja-kerja pembersihan bekas kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.-TVS