Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bercakap kepada wartawan selepas rundingan itu, Vladimir Medinsky berkata cadangan Rusia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu langkah ke arah mencapai gencatan senjata penuh dan memberi tumpuan untuk mencapai perdamaian yang berkekalan. Foto AFP

Rusia serah cadangan damai kepada Ukraine

ByBernama

ISTANBUL, 3 Jun: Rusia pada Isnin menyerahkan draf cadangan damai kepada Ukraine dalam pusingan kedua rundingan yang diadakan di Istanbul, menurut ketua delegasi Rusia, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada wartawan selepas rundingan itu, Vladimir Medinsky berkata cadangan Rusia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu langkah ke arah mencapai gencatan senjata penuh dan memberi tumpuan untuk mencapai perdamaian yang berkekalan.

“Dokumen ini komprehensif dan mengandungi pelbagai senario untuk mencapai matlamatnya,” katanya sambil menambah bahawa pihak Ukraine telah menerima dokumen itu untuk diteliti.

Medinsky turut mengesahkan bahawa Rusia akan memulangkan secara unilateral mayat 6,000 anggota tentera Ukraine yang terkorban pada minggu depan dan menyatakan bahawa kesemuanya telah dikenal pasti.

Moscow menawarkan gencatan senjata sementara selama dua hingga tiga hari di kawasan tertentu sepanjang barisan hadapan, katanya.

Cadangan itu digambarkan sebagai “gencatan senjata konkrit” yang bertujuan membolehkan pihak tentera mengambil semula mayat anggota yang terkorban. Moscow dan Kyiv dilaporkan telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata setempat bagi tujuan itu.

Beliau berkata Ukraine mengesahkan bahawa gencatan senjata terhad telah dipersetujui di zon tertentu bagi membolehkan proses pemulihan dan menambah bahawa Ukraine sedang menyediakan cadangan lebih luas untuk memformalkan jeda sedemikian dalam pertempuran.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk melaksanakan pertukaran tawanan terbesar sejak konflik bermula, dengan jumlah keseluruhan dijangka melebihi 1,000 orang.

“Kedua-dua pihak komited terhadap pertukaran “semua untuk semua” melibatkan tahanan yang sakit dan cedera parah serta pejuang berusia bawah 25 tahun,” katanya.

Satu suruhanjaya bersama akan ditubuhkan bagi menyelia pertukaran tahanan yang mengalami kecederaan parah, tanpa campur tangan politik.

Beliau turut mengulas isu kanak-kanak yang terpisah akibat konflik, sambil menafikan dakwaan bahawa Rusia telah menculik mana-mana kanak-kanak dan menyifatkan kebimbangan Ukraine sebagai “tontonan untuk meraih simpati masyarakat Eropah.”

Menurut beliau, Kyiv mengemukakan senarai 339 kanak-kanak yang didakwa terjejas akibat konflik itu. “Kami memulangkan kanak-kanak apabila ibu bapa atau penjaga sah mereka dapat dikenal pasti,” katanya, sambil menekankan usaha Rusia untuk menyatukan semula keluarga yang terpisah.

Medinsky berkata perbincangan yang berlangsung selama lebih sejam itu dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Rusia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan