KUCHING, 3 Jun: Seekor haiwan liar yang dipercayai harimau dahan mencuri perhatian netizen apabila kelibatnya dirakam sedang leka seperti memakan sesuatu di atas jalan Matu-Igan dekat Daro pada Isnin.
Rakaman berdurasi 23 saat itu dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Saat Majuni pada Isnin, menunjukkan haiwan berbulu corak unik itu berada di atas jalan raya.
Ketika dihubungi, Saat berkata video itu dirakam pada pukul 4.30 petang, Isnin.
Ia kelihatan jinak, langsung tidak lari walaupun dirakam dari dalam kereta.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen teruja dengan penemuan haiwan yang amat jarang ditemui itu.
Ada yang berseloroh, “Jinak juak, sik lari,” manakala seorang lagi menulis, “Rare, jarang nemu nak mcm tok. Jarang juak menatang tok exposed diriknya kat public mcm tok.”

Harimau dahan atau nama saintifiknya Neofelis nebulosa, memang spesies yang jarang dijumpai secara terbuka.
Di Sarawak, haiwan ini tergolong dalam spesies “Terlindung Sepenuhnya” seperti yang terdapat di laman sesawang Sarawak Forestry Corporation.
Difahamkan, harimau dahan biasanya aktif pada waktu malam, sangat pemalu dan mengelak manusia. Sebab itu, bila ada rakaman macam ni, memang cukup “rare”!