Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Digital menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pakar keselamatan siber menerima tauliah sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Bertauliah (C-CISO) menjelang hujung tahun ini, Foto Bernama

Malaysia sasar 100 pakar keselamatan siber terima tauliah C-CISO tahun ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Kementerian Digital menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pakar keselamatan siber menerima tauliah sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Bertauliah (C-CISO) menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Gobind berkata menerusi Program Pensijilan C-CISO, kementerian itu komited melahirkan lebih ramai bakat dan pakar dalam bidang berkenaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor awam terhadap ancaman siber.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama EC-Council dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), dengan tujuh peserta kumpulan pertama menerima pensijilan hari ini.

“Sasaran kita adalah menjelang hujung tahun ini, kita dapat melahirkan 100 C-CISO keseluruhannya sebagai permulaan dan bergerak ke hadapan, kita mahu melihat lebih ramai yang menunjukkan minat dan menyertai program ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga akan diperluas ke sektor lain bagi memastikan bakat tempatan dalam bidang keselamatan siber dapat terus digilap dan dikembangkan secara berterusan.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Presiden EC-Council Sanjay Bavisi.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Gobind berkata program pensijilan itu antara komponen utama dalam mendukung pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), khususnya dalam kalangan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO), individu ini memegang peranan strategik dalam memastikan pematuhan organisasi terhadap peruntukan di bawah Akta 854.

“Tanggungjawab CISO merangkumi perumusan dasar keselamatan siber, pelaksanaan kawalan teknikal, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan organisasi dalam menangani insiden siber, selain sebagai penghubung strategik antara kerajaan, industri, penyedia teknologi dan komuniti NCII,” katanya.

Selain itu, CISO juga berperanan memacu transformasi budaya keselamatan dalam organisasi melalui latihan dan pensijilan berterusan serta memastikan sistem dan teknologi yang digunakan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Program C-CISO merangkumi lima domain utama termasuk tadbir urus, audit keselamatan, perlindungan data, pengurusan operasi dan perancangan strategik, yang disifatkan Gobind sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan kepimpinan digital negara.

“Jika dahulu kekuatan negara diukur melalui ketenteraan, hari ini ia bergantung kepada keselamatan dan kepercayaan terhadap sistem digital. Pertahanan digital adalah tunjang utama kemakmuran dan kestabilan negara,” katanya.- TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan