KOTA KINABALU, 3 Jun: Sebuah lori tiga tan terbakar hampir keseluruhan bahagian enjin dalam kejadian di Jalan Kalansan, Jalan Tuaran Bypass pagi tadi.
Kebakaran dilaporkan pada jam 10:14 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba enam minit kemudian.
“Api berjaya dikawal pada jam 10:34 pagi sebelum operasi ditamatkan empat minit kemudian selepas pemeriksaan lanjut mendapati tiada lagi bahaya,” kata Komander Operasi, PBK I Saflan Bin Sapri.
Beliau berkata, tiada mangsa terlibat dalam insiden itu dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) dengan sumber air dari jentera.
Turut membantu, dua anggota polis dari PDRM. -TVS