BAU, 3 Jun: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan hingga melanggar besi penghadang jalan sebelum berpusing beberapa kali dan melintang di tengah jalan dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Bau–Lundu, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Dr Daram Ruer, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam ketika mangsa yang memandu kereta jenis Naza Forte sedang dalam perjalanan dari arah Lundu menuju ke Bau.
“Ketika kereta terbabit melintang di tengah jalan, ia kemudian dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Akibat kemalangan itu pemandu kenderaan jenis Naza Forte telah meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dua lagi pemandu kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Nissan Navara tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar hujung penghadang jalan (P-Turn dari arah Bau), lalu berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, terutama sepanjang musim perayaan.
“Pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan pandulah secara berhemah demi keselamatan semua pihak,” katanya.-TVS