KOTA KINABALU, 3 Jun: Tahap keselamatan di pantai timur Sabah kekal berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang insiden tidak diingini sejak beberapa tahun lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, di Menara Kinabalu, pada Selasa.
“Pantai timur Sabah kekal selamat dan stabil. Ini penting bagi keyakinan pelabur serta pelancong asing,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau dalam pada itu turut menyambut baik maklumat bahawa Sabah kini menjadi destinasi ketiga tertinggi dalam kalangan pelawat Eropah ke Malaysia, selepas United Kingdom dan Jerman.
Bagi suku pertama tahun ini, ketibaan pelawat Perancis ke Sabah meningkat sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang, berbanding 1,669 dalam tempoh sama tahun lalu.
Hajiji yakin usaha promosi yang lebih agresif dan proaktif akan terus membantu melonjakkan kehadiran pelawat dari Perancis.
Eldeen, yang dilantik sebagai Duta Besar ke Perancis pada April 2024, sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Duta Malaysia ke Kemboja.
Pertemuan itu turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis, khususnya dalam bidang pelancongan, demi manfaat bersama rakyat negeri ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit; Pengarah Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Akbal Setia; dan Pengarah Tourism Malaysia Paris, Zalina Ahmad. – TVS