BAU, 3 Jun: Sebuah kereta mewah jenis BMW terbabas ke dalam parit dalam kejadian kemalangan kendiri di Pekan Bidi, Jalan Bau–Krokong, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pemandunya yang merupakan seorang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.11 pagi.
Susulan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati sebuah kereta BMW telah terbabas dan terjunam ke dalam parit. Tiada mangsa ditemui di dalam kenderaan tersebut,” menurut kenyataan PGO JBPM Sarawak hari ini.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan maklumat daripada penduduk sekitar, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1 pagi.
“Pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah beredar dari lokasi sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.