KUCHING, 3 Jun: Penemuan seekor harimau dahan Borneo (Neofelis diardi borneensis) di tepi jalan Matu-Igan yang tular sejak semalam menjadi petunjuk positif bahawa Sarawak masih menjadi habitat semula jadi bagi spesies haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Menurut Pengurus Besar merangkap Kontroler Hidupan Liar, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, kejadian itu membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan Sarawak melalui SFC dalam memelihara dan melindungi biodiversiti negeri ini menampakkan hasil.
Muncul di atas jalan Matu-Igan, haiwan apa berbintik unik ini?
Bagaimanapun, katanya, kemunculan spesies pemangsa itu pada waktu siang dan di kawasan berhampiran penempatan manusia boleh berpunca daripada gangguan habitat atau kekurangan sumber makanan di hutan sekitarnya.
“SFC memandang serius perkara ini dan sudah menghantar pasukan khas SWAT ke lokasi kejadian untuk menilai situasi sebenar seperti yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar supaya berwaspada, tidak mendekati haiwan liar sekiranya terlihat dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Hidupan liar ialah aset semula jadi yang tidak ternilai dan perlindungan mereka adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Menurutnya, SFC akan mengemas kini maklumat lanjut mengenai penemuan tersebut dari semasa ke semasa.