BETONG, 3 Jun: Karnival Sejerut 4 yang menampilkan acara seperti pertandingan Ratu Kebaya Cilik dan futsal wanita diakui bukan sekadar program hiburan semata-mata namun ia menjadi simbol penyatuan komuniti dan dijangka menjadi acara tahunan di kawasan DUN Saribas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, menyifatkan karnival ini sebagai platform terbaik untuk menyemai nilai-nilai murni sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.
“Ini adalah pusingan yang kedua, tahun depan kampung lain pula. Ia cuma stuck sekejap semasa Covid dan selepas Covid ia dihidupkan semula. Dan InsyaAllah program ini memang kita rancang sebagai acara tahunan, terutamanya dari segi memupuk perpaduan dikalangan penduduk di kawasan sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penangguhan Karnival Sejerut 4 yang berlangsung penuh warna-warni di Panglima Brahim, Betong, malam tadi.
Acara tersebut dianjurkan oleh Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tanjung Assam.
Menurut Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, penganjuran karnival sebegini selari dengan semangat Rukun Negara yang menekankan pentingnya toleransi, ukhuwah dan silaturahim.
Katanya platform seperti itu mampu menyemarakkan rasa cintakan negara, mengukuhkan jati diri, serta menyuntik daya saing sihat dalam kalangan generasi muda dan belia luar bandar.
Antara aktiviti yang mencuri tumpuan sepanjang program dua hari itu termasuk Pertandingan Ratu Kebaya Cilik, Futsal Wanita dan Bola Sepak 7 Sebelah Lelaki. -TVS