DEBAK, 3 Jun: Penubuhan Pusat Gimnasium Komuniti di Pekan Debak merupakan usaha berterusan untuk menggalakkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas mengamalkan gaya hidup sihat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, pusat itu juga bertujuan memperkasakan pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi.
“Pusat ini akan dibuka kepada semua masyarakat di DUN Saribas dengan bayaran yang termurah,” katanya pada Majlis Pembukaan Awal Pusat Gimnasium Komuniti di sini, hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas memaklumkan pusat tersebut dibangunkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM100,000.
Katanya, gimnasium itu dilengkapi dengan peralatan asas yang sesuai untuk latihan serta penggunaan masyarakat umum.
“Alhamdulillah, pusat ini lengkap dengan keperluan asas bagi latihan. Diharapkan orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.