TATAU, 3 Jun: Dua lelaki cedera dalam kemalangan apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kawasan seberang Rumah Sulang, Jalan Tatau–Sibu, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.25 petang.
Sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai dan tiba pada jam 6.38 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang terbabas ke bahu kiri jalan dari arah Sibu menghala ke Tatau,” menurut kenyataan tersebut.
Seorang mangsa lelaki dewasa yang cedera diselamatkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) Tatau untuk rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa yang turut cedera didapati tersepit di bawah bahagian belakang kenderaan.
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan (RTA) sebelum berjaya mengeluarkannya dan menyerahkannya kepada pasukan perubatan. – TVS