KUCHING, 3 Jun: Muzium Budaya Borneo menjadi destinasi pilihan pelajar sepanjang cuti persekolahan bagi mendalami sejarah dan mengenali kepelbagaian budaya etnik di Sarawak.
Muzium yang menjadi antara tarikan budaya utama di negeri ini memberi peluang kepada generasi muda untuk memahami peranan sejarah dan kebudayaan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang di Bumi Kenyalang.
Sarawak mempunyai 27 etnik utama dan lebih 100 sub-etnik lain, termasuk kumpulan minoriti seperti India, Serani, Kedayan, Jawa, Bugis, Murut dan sebagainya yang secara kolektif dikategorikan sebagai “Orang Lain”.
Bagi Dionaldo Jingga Dennis salah seorang pelajar yang ditemui di Muzium Budaya Borneo berpendapat bahawa kekayaan kebudayaan di Sarawak menyimpan banyak cerita yang sememangnya amat menarik untuk dipelajari dan dihayati oleh masyarakat di Sarawak khususnya.
“Pada pendapat saya, apabila kita mengunjungi muzium ini, kita dapat melihat bagaimana maklumat serta informasi tentang budaya itu dipelihara selain di sini juga kita dapat mempelajari tentang kepelbagaian budaya kita di Sarawak dan pada masa yang sama, memperkenalkan budaya kita ini di mata dunia,”

Sementara itu bagi pelajar Politeknik Mukah Sarawak Welson kedu melihat melalui kunjungan-kunjungan ke tempat tersimpannya sejarah dan kisah lama dapat memperkukuhkan aspek pendidikan sesorang pelajar mengenai sejarah di Malaysia.
Katanya lagi, hal ini akan dapat menyemai semangat cinta akan sejarah di kalangan generasi muda terhadap keunikan kebudayaan yang ada di bumi kenyalang.
“Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di muzium ini, jadi saya mahu mengambil peluang ini untuk belajar tentang budaya serta sejarah di Sarawak ini, terutama tentang etnik Orang Ulu, Bidayuh, Melanau serta Iban.
“Saya melihat generasi baharu pada masa kini kurang mengetahui tentang adat-resam serta budaya di Sarawak ini jadi, peluang berkunjung ke muzium ini merupakan peluang terbaik untuk mempelajari budaya kita di Sarawak ini, ” jelasnya. -TVS