MIRI, 3 Jun: Kawasan Bario berpotensi sebagai lokasi acara pelancongan sukan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala.
Gerawat berpendapat, kawasan tanah tinggi seperti di Bario adalah sesuai untuk menjadi pusat latihan bagi larian jarak jauh.
“Pernah saya berkongsi dengan Menteri Pelancongan kita adakah baiknya untuk perancangan masa depan untuk kerajaan negeri Sarawak membuat satu pusat latihan untuk ahli sukan kita terutamanya Middle East and the Northeastern Frontier sebab sudah terbukti banyak pelari jarak jauh yang menjadi atlet Olimpik dan Dunia datang dari Afrika, Utopia, Kenya.
“Mereka ini berlatih di tempat tanah tinggi dimana udaranya adalah lebih bersih. Memang sudah terbukti secara saintifik, kalau kita berlatih di tempat yang tinggi seperti kawasan kita di Bario, kapasiti paru-paru anda adalah lebih luas. Ia membuatkan anda dapat berlari untuk jarak jauh dan bertahan,” katanya.
Beliau berucap di Majlis Penutupan Karnival Sukan Highlanders 2025 di sini pada Isnin.
Gerawat turut menyarankan agar Kelab Sukan Highlanders turut bersama-sama menyumbangkan idea untuk menjadikan perkara ini realiti.
Beliau juga berharap agar pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerima baik cadangan ini dan melaksanakannya di masa akan datang. – TVS