BAGAN SERAI, 3 Jun: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius isu penyeludupan lembu dari negara jiran menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar stok bekalan lembu, kerbau, kambing dan kambing biri- biri untuk kegunaan korban berjumlah 68,971 ekor setakat Mac lalu.
Sehubungan itu jelas beliau tidak wajar untuk pihak tertentu menyeludup haiwan ternakan berkenaan.
“Lembu korban di negara kita sekarang masih mencukupi dan mengikut anggaran permit permintaan bagi lembu korban pada tahun ini mungkin sekitar 34,451 ekor.
“Kita ada lebih daripada 35,000 ekoran lembu dan bekalan cukup untuk tahun ini,” katanya.
Arthur berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di sini hari hari ini.
Beliau mengulas mengenai rampasan 15 ekor lembu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Wakaf Simen, Tanah Merah, Kelatan yang diseludup masuk dari Thailand tiga hari lalu dipercayai untuk digunakan pada Hari Raya Korban.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, bagi membendung isu penyeludupan lembu untuk ibadah korban yang berlaku setiap tahun, sesi libat urus dengan kerajaan negeri akan dipertingkat bagi menyeragam undang-undang dan tindakan penguatkuasaan.
“Kementerian turut bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperketat kawalan di sempadan bagi menghalang kemasukan haiwan ternakan secara haram,” katanya. -TVS