KUCHING, 2 Jun: Singapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negara paling makmur di Asia Tenggara apabila mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi di rantau ini berdasarkan data tahun 2025, dengan jumlah mencecah US$92,932 (RM437,000).
Menurut data diterbitkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di laman sesawangnya, Malaysia berada di tangga keempat dengan KDNK per kapita sebanyak US$13,145 (kira-kira RM61,900) di belakang Brunei Darussalam (US$34,970) dan Thailand (US$7,700).
Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Filipina mencatatkan US$4,350, diikuti Vietnam (US$4,810), Indonesia (US$5,030), dan Kemboja (US$2,870). Sementara itu, Laos merekodkan KDNK per kapita sebanyak US$2,100, manakala Myanmar dengan US$1,180.
Menurut IMF, KDNK ialah ukuran tunggal yang paling lazim digunakan untuk menilai keseluruhan aktiviti ekonomi sesebuah negara.
“Ia mewakili jumlah nilai pada harga semasa bagi barangan dan perkhidmatan akhir yang dihasilkan dalam negara dalam tempoh masa tertentu, dibahagikan dengan purata populasi bagi tahun yang sama,” kata IMF.