Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan mengetuai pertemuan bersama pelabur dari Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan. Foto MINTRED

Sarawak tarik pelaburan USD1.5 bilion dari dua syarikat Jepun

ByShafik Ahmad

OSAKA, 2 Jun: Sarawak terus menarik minat pelabur antarabangsa apabila dua syarikat utama dari Jepun merancang pelaburan bernilai USD1.5 bilion dalam sektor teknologi tinggi dan industri kimia di wilayah ini.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), perbincangan bagi dua projek berimpak tinggi itu kini berada di peringkat perancangan awal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan mengetuai pertemuan bersama pelabur dari Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan.

Salah satu projek melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran polikristalin silikon gred semikonduktor oleh Tokuyama Corporation dari Jepun dengan kerjasama OCI Company Ltd. dari Korea Selatan dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar USD435 juta.

“Projek ini berpotensi menjadikan Sarawak antara lima lokasi terkemuka di dunia dalam teknologi pengeluaran semikonduktor berprestasi tinggi,” jelas kenyataan itu.

Satu lagi pelaburan yang dirancang melibatkan sebuah konsortium syarikat Jepun dalam sektor kimia, dengan anggaran pelaburan mencecah USD1 bilion.

MINTRED memaklumkan, kajian kebolehlaksanaan serta penilaian tapak telah pun dimulakan dan Kerajaan Sarawak memberikan komitmen untuk mempercepat proses kelulusan bagi memastikan keputusan pelaburan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Kedua-dua pelaburan tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pelaksanaan projek pelaburan berimpak tinggi seperti ini. Kami menawarkan persekitaran perniagaan yang stabil, berdaya saing serta dilengkapi infrastruktur moden dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Awang Tengah dalam kenyataan itu.

Beliau turut berkata, Kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaburan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan