KUCHING, 2 Jun: Sebuah rumah pekerja yang terbiar musnah dalam kebakaran di kawasan Samajaya, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana rumah berkenaan tidak didiami.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.09 pagi.
“Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba dua minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi PBK I (TBK I) Tahir Tuah melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja yang telah lama ditinggalkan dan terletak di kawasan semak.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.25 pagi. Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca api tersembunyi,” ujarnya. – TVS