MIRI, 2 Jun: Sebuah rumah pekerja di Jalan Cahaya, Taman Saujana Impian musnah dalam kebakaran petang semalam yang turut melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta ketika semua penghuni tiada di rumah.
Komander Operasi, Rorudi Umas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang dan mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja berstruktur tidak kekal yang mempunyai enam bilik dan ia musnah sepenuhnya. Ketika kejadian, tiada penghuni berada di rumah dan mereka gagal dihubungi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan dua nozel dan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozel yang disambungkan kepada pam jentera menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah lori tiga tan yang terbakar 10 peratus di bahagian hadapan dan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang terbakar lima peratus di bahagian hadapan,” ujarnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-TVS