KOTA BELUD, 2 Jun: Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan sebanyak RM20 juta tahun ini bagi membina dan menaik taraf lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Menteri berkenaan, Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan itu termasuk tambahan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau, bulan lalu.
“Tahun lalu, kita berjaya siapkan 98 premis Tamu Desa di seluruh Sabah dan Sarawak. Tahun ini, saya harap jumlah yang sama atau lebih dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Pinasang Tamu Darat serta Pelancaran Premis Tamu Desa Tamu Darat, yang siap sepenuhnya tahun ini dengan kos pembinaan sebanyak RM250,000.
Projek Pembangunan Premis Tamu Desa mula diperkenalkan pada 2024 dengan peruntukan awal RM20 juta menerusi Belanjawan 2024, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa ekonomi luar bandar.
Mengulas lanjut, Ewon berkata daripada 98 premis yang disiapkan tahun lalu, sebanyak 14 daripadanya terletak di kawasan Kota Belud.
“Saya dimaklumkan oleh para pimpinan kampung bahawa premis ini beri manfaat besar kepada penduduk, khususnya golongan ibu dan usahawan kecil yang berniaga setiap minggu,” katanya.
Beliau menambah, kemudahan itu bukan sahaja menjadi ruang niaga, malah turut menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang boleh dilaksanakan oleh penduduk setempat.
Kos pembangunan premis pula bergantung kepada skop kerja, sama ada pembinaan baharu atau kerja naik taraf, dengan anggaran antara RM100,000 hingga RM300,000.
Setakat Mei 2025, katanya, permohonan baharu dan naik taraf di Sabah sahaja telah mencecah RM40 juta, termasuk permohonan yang tertangguh dari tahun sebelumnya.
“Jumlah ini tidak termasuk permohonan dari Sarawak. Walaupun bajet terhad, kesinambungan pelaksanaan tetap keutamaan,” katanya.