Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
(Dari kanan) Muhammad Mukhriz Jalim, Acha Ahmad dan Arddy Yius.

Pesta Kaul simbol perpaduan dan warisan budaya Melanau

DALAT, 2 Jun: Kemeriahan Pesta Kaul Kampung Sungai Kut Muara, di sini, bukan sahaja mencerminkan semangat kesatuan dalam kalangan masyarakat, malah menjadi lambang penghormatan terhadap adat dan warisan budaya kaum Melanau.

Ketua Kaum Kampung Sungai Kut Muara, Muhammad Mukhriz Jalim, 57, menyifatkan penganjuran pesta tahunan itu sebagai langkah proaktif dalam menyemai rasa cinta terhadap budaya tradisional, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Pesta Kaul ini menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu yang berkongsi satu matlamat iaitu mengekalkan dan meneruskan budaya warisan kaum Melanau agar terus segar dalam ingatan masyarakat hari ini dan masa depan,” katanya ketika ditemui pada pesta tersebut, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.

Pesta Kaul Kampung Sungai Kut Muara, Dalat merupakan inisiatif penduduk memelihara tradisi Melanau.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan lima, Acha Ahmad, 17, pesta berkenaan wajar diperkasakan sebagai acara pelancongan berskala lebih besar kerana memiliki keunikan tersendiri.

“Suasananya cukup meriah dan autentik, memberikan pengalaman budaya yang jarang ditemui di tempat lain. Jika dipromosikan secara meluas, saya percaya Pesta Kaul mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika ditemui.

Pandangan serupa turut dikongsi Arddy Yius, 37, yang menyifatkan Pesta Kaul sebagai platform pendidikan tidak formal yang memperkenalkan nilai dan amalan adat resam kepada golongan belia.

“Melalui aktiviti seperti Kaul Serareng, kami bukan sahaja dapat memahami tradisi nenek moyang, malah turut merasai sendiri pengalaman yang menghubungkan kami dengan akar budaya Melanau.

“Saya berharap Pesta Kaul akan terus diadakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana ia mampu memupuk semangat perpaduan serta nilai murni dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pesta Kaul yang sinonim dengan masyarakat Melanau lazimnya disambut sebagai tanda kesyukuran atas limpahan rezeki, selain memohon perlindungan daripada kuasa alam seperti dipercayai dalam tradisi mereka.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan