SERIAN, 2 Jun: Dua individu cedera dalam kemalangan berantai membabitkan lima kenderaan di Jambatan Sungai Mamat, Jalan Serian-Kuching, malam tadi.
Komander Operasi, Christopher Tungoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.41 malam sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu Toyota Hilux, van, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki yang memandu Toyota Hilux mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Serian oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang lagi mangsa iaitu seorang wanita yang memandu Perodua Axia turut cedera dan dihantar ke Hospital Serian oleh unit EMRS bomba,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa lain dilaporkan selamat dan tiada operasi menyelamat dijalankan.
“Pasukan bomba hanya menjalankan kerja-kerja pembersihan (flushing) sisa kemalangan di atas jalan sehingga selesai,” jelasnya.-TVS