BETONG, 2 Jun: Tradisi kunjung-mengunjung atau ngabang yang menjadi kelaziman masyarakat Sarawak setiap kali musim perayaan, terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Betong.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata amalan turun-temurun itu tetap diraikan bersama keluarga, rakan dan jiran tetangga tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Perpaduan seperti ini wajar terus dipelihara kerana ia mencerminkan toleransi dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke rumah panjang Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu di Danau Ulu, Paku, hari ini.
Menurutnya, budaya ngabang sudah lama menjadi kebiasaan dalam masyarakat Betong dan Saribas, malah ia kekal diamalkan hingga kini.
Sambutan perayaan di Sarawak sering menjadi medan untuk memperlihatkan betapa rakyat negeri ini hidup harmoni dalam kepelbagaian budaya.
Beliau berkata, suasana seperti itu juga mencerminkan nilai hormat-menghormati serta kerjasama erat antara masyarakat, terutama ketika perayaan utama.