MIRI, 2 Jun: Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri mengeluarkan sebanyak 67 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi bersepadu yang bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu turut membawa kepada penyitaan 11 motosikal mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan dokumentasi.
“Dalam operasi tersebut, seramai 22 lelaki telah diperiksa. Antara kesalahan yang dikenakan saman termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai struktur dan ekzos, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran fancy, tidak mempamerkan pelekat ‘P’ serta kegagalan memastikan sistem brek berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, tiga lelaki tempatan masing-masing berusia 16, 21 dan 25 tahun turut ditahan kerana disyaki menunggang secara melulu dan membahayakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan agar menyalurkannya kepada pihak polis.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Penunggang motosikal dinasihatkan agar sentiasa menunggang secara berhemah dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta tidak melakukan pengubahsuaian motosikal secara tidak sah,” jelasnya.-TVS