GEORGE TOWN, 2 Jun: Sebanyak 19 ekor kambing dilaporkan rentung, manakala empat buah kenderaan terbakar dalam kejadian kebakaran di sebuah kandang kambing di Kampung Jawa, Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 12.58 tengah hari sebelum jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.04 petang.
Katanya, bomba mendapati kejadian itu membabitkan kebakaran sebuah kandang kambing kelas C yang berkeluasan kira-kira 56 meter persegi yang musnah 90 peratus.
“Sebanyak 19 ekor kambing yang berada di kandang turut terbakar dan hanya seekor sempat diselamatkan.
“Selain itu, sebuah lori musnah 90 peratus, kereta jenis Honda Civic musnah 80 peratus serta kereta Honda City dan Proton Wira terbakar 30 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dikawal pada pukul 1.07 petang sebelum kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2 petang. – TVS.