SERIAN, 1 Jun: Perarakan Gawai Dayak terus menjadi medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara yang berlangsung meriah dan penuh warna-warni di Kampung Taee, Serian itu diserikan dengan penyertaan komuniti tempatan dalam busana tradisional Dayak selain turut menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa yang hadir setiap tahun untuk menyaksikan keunikan sambutan Gawai Taee.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, tradisi Perarakan Gawai Taee bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Dayak malah menjadi simbol kemuafakatan dan kekuatan komuniti setempat.
“Saya melihat kehadiran masyarakat pelbagai kaum, latar belakang dan kepercayaan berkumpul di Kampung Taee dengan satu tujuan menjadikan acara ini satu sambutan yang meriah, bermakna dan akan dikenang sepanjang hayat.
“Kepada tetamu antarabangsa, walaupun kita berbeza dari segi fizikal seperti warna rambut dan kulit, kehadiran anda memperkukuh lagi ikatan persaudaraan antara masyarakat kita,” katanya ketika merasmikan Program Perarakan Gawai Kampung Taee di sini, hari ini.
Menurutnya, sambutan Gawai bukan sekadar perayaan tahunan malah mencerminkan identiti masyarakat Bidayuh dari aspek tradisi, sejarah dan semangat mempertahankan adat resam.
Dr Simon turut menggesa belia agar memainkan peranan aktif dalam melestarikan warisan budaya termasuk berani tampil mempersembahkan tarian tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.-TVS