Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Saberi Bujang dan isteri Sabtuyah Abdullah merakam gambar kenangan bersama Tuai Rumah, Tawan Jawa Foto TVS

Warna-warni Gawai di Kampung Sungai Lingkau

SIMUNJAN, 1 Jun: Malam sambutan Gawai Dayak di Kampung Sungai Lingkau, Simunjan diserikan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan kekeluargaan termasuk acara sukaneka yang berjaya mengeratkan hubungan antara penduduk rumah panjang.

Menariknya, rumah panjang di kampung tersebut yang mempunyai hampir 93 pintu dan lebih 400 penghuni diketuai oleh tiga tuai rumah iaitu satu struktur pentadbiran unik yang mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan komuniti.

Salah seorang Tuai Rumah, Lingga Busan, 62, berkata, seramai 142 penduduk dari 37 pintu di bawah seliaannya menyertai lima acara yang dianjurkan pada malam tersebut.

Menurutnya, antara aktiviti yang mencuit hati termasuk pertandingan peragaan pakaian tradisional lelaki, pertandingan minum air tuak (kategori lelaki dan wanita), pertandingan berpakaian lawan jantina serta meniup belon hingga pecah.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara kami semua,” katanya.

Sementara itu, rumah panjang di bawah Tuai Rumah Tawan Jawa pula mengadakan tarian tradisional ngajat dan poco-poco sebelum majlis makan bersama secara potluck.

Tuai Rumah ketiga, Ngui Guyu, 63, menganjurkan cabutan bertuah dan pertandingan karaoke selain beberapa lagi acara komuniti yang dirancang.

Sambutan Gawai di kampung tersebut turut menyerlahkan nilai toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama.

Seorang penduduk berbangsa Melayu, Saberi Bujang, 70, berkata, beliau tidak pernah merasa janggal menyambut Gawai bersama penduduk berbangsa Iban sejak muda.

“Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat majmuk. Malah, saya bersekolah bersama anak-anak Iban di Sekolah Sebangkol Mawang dan pergaulan itu membawa kepada perkahwinan saya dengan isteri berbangsa Iban, Sayang Batang yang kini dikenali sebagai Sabtuyah Abdullah selepas memeluk Islam,” ujarnya.

Saberi menambah, perayaan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha disambut meriah setiap tahun bukan sahaja bersama keluarga terdekat malah rakan-rakan Iban yang turut hadir menziarahi mereka.

“Hari Raya Aidiladha nanti pun kami akan raikan seperti biasa dan menanti kunjungan sahabat-sahabat Iban yang berlainan agama,” jelasnya.

Semangat perpaduan seperti inilah yang terus memperkasa keharmonian komuniti di Kampung Sungai Lingkau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan