SUNGAI PETANI, 1 Jun: Seorang lelaki yang baharu tiga bulan dibebaskan dari penjara seolah – olah tidak serik apabila sekali lagi diberkas polis kerana disyaki terlibat melakukan kegiatan pecah premis perniagaan dan pejabat kerajaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Jack itu juga ‘sempat’ merekrut empat ahli untuk melakukan jenayah itu pada waktu malam.
Kata beliau, kumpulan itu tumpas selepas polis melakukan dua serbuan.
“Semasa ditangkap mereka menyamar dengan memakai pakai mirip syarikat milik kerajaan (GLC) Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB).
“(Taktik ini dilakukan) supaya tidak menimbulkan curiga orang ramai dan memudahkan mereka untuk menceroboh premis yang menjadi sasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.
Menurut Hanyan, ekoran penahan itu, polis berjaya menyelesaikan 15 kes antaranya pecah pejabat, pecah masuk tadika dan serta kes pecah rumah sarang burung walit di sekitar Sungai Petani dan Sungai Dua, Pulau Pinang.
Hasil serbuan katanya polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona, empat paket plastik lutsinar mengandungi ketulan dadah seberat 1.82 gram disyaki syabu, dua beg galas berjenama, dua dompet, enam utas jam tangan berjenama, seutas rantai leher emas.
‘Turut dirampas wang tunai RM833, serta wang tunai mata wang pelbagai negara bernilai RM1,455, empat buah topi besbal, sebuah beg tangan, duit syiling, pelbagai jenis kunci, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, beberapa pakaian tertera logo TNB,” katanya.
Tambah beliau, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM40,000 manakalan hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan mendapati suspek utama mempunyai 36 rekod jenayah dan 11 rekod berkaitan dadah termasuk satu kes dikehendaki polis.
“Kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. -TVS.