Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain PSG meraikan kejayaan merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab. Foto AFP

PSG mengganas di Munich, lakar sejarah baharu

ByAFP

MUNICH, 1 Jun: Paris Saint-Germain (PSG) akhirnya merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab selepas membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Allianz Arena awal pagi tadi.

Anak buah Luis Enrique mempamerkan aksi luar biasa dalam perlawanan akhir paling berat sebelah yang pernah disaksikan dalam sejarah 70 tahun pertandingan tersebut, dengan bintang remaja Desire Doue muncul wira setelah menjaringkan dua gol.

Pemain pertahanan Achraf Hakimi membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 hasil satu gerakan cantik yang dimulakan oleh Vitinha dan Doue. Hakimi, yang berdepan bekas kelabnya memilih untuk tidak meraikan jaringan tersebut sebagai tanda hormat.

Pada minit ke-20, rembatan Doue yang terkena pemain lawan menghasilkan gol kedua PSG, sebelum pemain muda itu menambah satu lagi gol peribadinya selepas sejam permainan.

Khvicha Kvaratskhelia menjadikan kedudukan 4-0, sebelum pemain gantian Senny Mayulu melengkapkan malam gemilang PSG dengan gol kelima.

Inter Milan jelas tidak mampu menandingi kelab Perancis itu, yang mencatat kemenangan paling besar dalam sejarah perlawanan akhir Piala Eropah atau Liga Juara-Juara.

“Ini amat bermakna segala-galanya. Ini impian saya, ini impian kami. Ia luar biasa. Keputusan ini bukan berlaku secara magik. Saya gembira kami melakukannya sebegini. Kini masa untuk meraikannya,” kata Vitinha, arkitek utama jentera tengah PSG.

Kejayaan tersebut merupakan kemuncak kepada lebih sedekad pelaburan besar oleh pemilik dari Qatar dan menebus kekecewaan PSG selepas tewas kepada Bayern Munich dalam final 2020.

Dengan kejuaraan Ligue 1 dan Piala Perancis sudah dalam genggaman, PSG kini melengkapkan musim gemilang mereka dan menjadi kelab Perancis kedua selepas Marseille (1993) yang menjulang trofi teragung Eropah ini.

Trofi tersebut juga merupakan gelaran Liga Juara-Juara kedua buat jurulatih Luis Enrique selepas kejayaan bersama Barcelona sedekad lalu.

Kemenangan PSG lebih manis kerana dicapai selepas pemergian Kylian Mbappé, apabila skuad muda yang dibentuk secara strategik dalam tempoh dua tahun terakhir akhirnya membuahkan hasil.

Doue yang bakal menyambut ulang tahun ke-20 minggu depan muncul sebagai bintang utama dengan aksi bertaraf dunia.

Sebaliknya, Inter Milan sekali lagi kecundang di pentas final, kegagalan kali kedua dalam tiga musim.

Pasukan kendalian Simone Inzaghi bukan sahaja gagal menambah kejuaraan Eropah sejak kali terakhir pada 2010, malah menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi selepas turut keciciran dalam saingan Serie A kepada Napoli.

Dengan barisan pemain yang semakin berusia, Inter kini berdepan keperluan mendesak untuk melakukan pembaharuan besar-besaran.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan