KUCHING, 1 Jun: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 menawarkan dua hadiah utama yang menarik kepada pengunjung melalui dua peraduan digital sempena penganjuran festival tersebut.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memaklumkan peserta berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi balik untuk dua orang ke Paris dan sebuah kereta Proton X70 baharu.
Malaysia Airlines dan Firefly merupakan Diamond Sponsors dan rakan syarikat penerbangan rasmi bagi peraduan ini.
“Tahun ini, kami menggandakan keterujaan dengan bukan satu tetapi dua peraduan digital yang mengangkat tema hubungan, kreativiti dan budaya,” menurut kenyataan STB.
Peraduan pertama, #MyRWMFTimeForPariswithMH mengajak peserta memuat naik video Instagram Reel secara umum yang menampilkan fesyen berinspirasikan Sarawak, digayakan seolah-olah mereka menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Paris.
Peserta perlu menyertakan kapsyen berbunyi: “My travel fit from Sarawak to Paris with Malaysia Airlines is inspired by…” dan menggunakan hashtag yang ditetapkan.
Sementara itu, peraduan kedua, #RWMFxProtonX70 Challenge memerlukan peserta menghasilkan video berdurasi 15 hingga 60 saat yang menampilkan kotak cahaya RWMF 2025 serta elemen berkaitan Proton seperti kenderaan, logo, bilik pameran atau reruai.
Peserta boleh menyertai kedua-dua peraduan namun hanya layak memenangi satu hadiah sahaja.
Penyertaan peraduan hanya sah bagi pemegang pas dewasa sehari dan pas dewasa tiga hari antara 8 Mac hingga 22 Jun 2025 melalui laman rasmi festival di www.rwmf.net atau ejen jualan yang dilantik.
Pemenang akan diumumkan di laman rasmi Facebook dan Instagram RWMF dalam tempoh dua bulan selepas festival berlangsung.
RWMF 2025 akan berlangsung dari 20 hingga 22 Jun di Kampung Budaya Sarawak dan dijangka menghimpunkan lebih 200 artis dari 20 buah negara.
Antara barisan artis yang dijadual membuat persembahan ialah The Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay (Amerika Syarikat), Otyken (Siberia, Rusia), dan At Adau dari Sarawak.
Bertemakan “CONNECTIONS: One Earth, One Love”, festival tersebut turut menampilkan Green Ruai, sebuah zon kelestarian yang mempamerkan pameran interaktif berkaitan alam sekitar dan kesedaran terhadap jejak karbon.
Menurut STB, RWMF 2024 mencatatkan kehadiran tertinggi dalam sejarah penganjuran festival dengan 26,000 pengunjung dan tiket bagi edisi 2025 dijangka habis dijual dalam masa singkat.
“RWMF 2025 bukan sekadar festival, ia adalah satu sambutan muzik, perpaduan dan hubungan yang membentuk kita,” jelas STB. — TVS