KUCHING, 1 Jun: Alunan merdu sape, alat muzik tradisional Orang Ulu mengisi ruang Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sempena Rumah Terbuka Gawai 2025 sekali gus menjadi tumpuan pengunjung pelbagai latar budaya dan usia.
Namun di sebalik irama yang mengasyikkan, tersembunyi kisah luar biasa dua anak muda Borneo yang berjuang memastikan sape terus hidup dan dihargai generasi kini.
Martinus Njok Sebi, 23, pelajar muzik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari suku Kenyah berkata, sape bukan sekadar alat muzik tetapi jiwa budaya Orang Ulu.
“Untuk sambutan ini, kami mainkan lagu tradisional ‘Det Diet Tapung Kitan’, alunan sape yang biasa dimainkan untuk menyambut tetamu. Sebagai anak Kenyah, saya berbangga melihat semakin ramai yang menghargai muzik dan budaya kami,” katanya.
Turut mencuri perhatian ialah Mohd Ikhmal Hakim atau lebih dikenali sebagai Cimal yang memiliki darah campuran Melayu, Iban dan Sekapan.
Mula bermain sape sejak usia 10 tahun, beliau kini tekad mengangkat martabat warisan tersebut.
“Saya berasal dari etnik minoriti Sekapan dan mahu warisan ini terus dikenali. Kini semakin ramai anak muda minat bermain sape, ini perkembangan yang sangat membanggakan,” ujarnya.
Perjuangan mereka bukan sekadar persembahan seni tetapi lambang semangat generasi muda dalam melestarikan warisan budaya.
Sape yang dahulunya dimainkan dalam upacara tradisional kini mendapat tempat di hati generasi baharu bukan sekadar dikenang tetapi terus dimainkan dan diwariskan. – TVS