BINTULU, 1 Jun: Seramai 21 penghuni hilang tempat tinggal selepas lima rumah teres satu tingkat musnah dalam kebakaran di kawasan perumahan Kidurong MLNG Housing, Jalan Abang Usop, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 malam sebelum menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi kejadian dengan bantuan pasukan dari BBP Bintulu.
“Kebakaran melibatkan lima rumah struktur kekal yang terbakar keseluruhannya. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua penghuni dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan gabungan teknik defensif dan ofensif bagi mengawal api daripada merebak ke kediaman berdekatan.
“Pasukan BBP Kidurong membentang satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran. Pasukan BBP Bintulu pula membentang aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan air dari jentera,” ujarnya.
Kerja-kerja overhaul turut dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang masih tersembunyi sebelum operasi ditamatkan setelah situasi disahkan selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – TVS