BINTANGOR, 1 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing meneruskan misi turun padang dengan menyambung lawatan ke rumah panjang di kawasannya yang tertangguh sebelum ini.
Program lawatan yang bermula awal Mei lalu ditangguhkan seketika susulan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung baru-baru ini.
Bagaimanapun, program tersebut disambung semula hari ini dengan memberi tumpuan kepada baki rumah panjang yang belum sempat dikunjungi.
Menurut Kuong Hiing, beliau berjaya melawat lebih 90 rumah panjang dalam tempoh dua minggu sebelum program dihentikan sementara.
“Saya akan meneruskan lawatan ini sehingga kesemua 186 rumah panjang selesai dilawati dan dijangka berakhir pada 7 Jun ini,” katanya kepada TVS hari ini.
Jelasnya, lawatan tersebut bukan sahaja membolehkannya meninjau keadaan penduduk secara langsung malah menjadi jambatan penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Tambahnya, kunjungan dari rumah ke rumah turut menjadi platform untuk mendengar sendiri suara rakyat serta memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi komuniti luar bandar.
“Sempena sambutan Gawai Dayak ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Iban di kawasan Meradong.
“Semoga perayaan ini diraikan dengan penuh kegembiraan, keharmonian dan semangat kekeluargaan,” ujarnya.-TVS