Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Supardi Suhaili merakam gambar kenangan bersama-sama ahli keluarganya. Foto TVS

Keharmonian kahwin campur cerminan keunikan Sarawak

SIMUNJAN, 1 Jun: Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak terus menjadi cerminan keunikan wilayah ini khususnya apabila perkahwinan campur diraikan dengan penuh persefahaman tanpa prasangka.

Di Kampung Sungai Lingkau, Simunjan, suasana sambutan malam Gawai bukan sahaja meriah dengan gelak tawa dan alunan muzik tradisional malah turut menyaksikan keakraban pasangan pelbagai latar belakang budaya yang hidup aman damai di rumah panjang.

Antara pasangan yang ditemui TVS ialah Supardi Suhaili, 49, seorang Melanau Muslim yang pulang ke kampung isterinya, Nurul Ain Abdullah, 41, berbangsa Iban yang juga memeluk Islam.

Bersama empat anak mereka, pasangan tersebut menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana rumah panjang.

“Setakat ini tiada masalah. Yang penting kita saling memahami dan hormat-menghormati. Penduduk rumah panjang menghormati saya sebagai orang Islam dan saya juga menghormati budaya mereka. Penerimaan mereka sangat baik, tiada sebarang isu,” kata Supardi.

Mereka turut mengamalkan pendekatan adil dalam meraikan perayaan apabila menyambut Hari Raya di kampung Supardi dan pulang ke rumah Nurul Ain semasa Gawai.

Sikap saling memahami itu turut dikongsi pasangan Kessy Newton, 37, berbangsa Iban dan suaminya Hillary Johit, 40, berbangsa Bidayuh yang menganut agama Kristian.

Menurut Kessy, perkahwinan campur membuka ruang kepada pasangan untuk lebih mengenali budaya masing-masing, sekali gus mengelakkan perselisihan faham terutama semasa musim perayaan.

“Sambutan Gawai di kampung suami agak sederhana kerana mereka lebih menumpukan kepada sambutan Hari Krismas. Tapi bagi kami orang Iban, Gawai memang dinantikan setiap tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Erwina Nanau, wanita berbangsa Dusun dari Sabah turut berkongsi pandangan mengenai perbezaan antara Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai di Sarawak.

“Pesta Kaamatan di Sabah lebih tertumpu kepada aktiviti rasmi seperti pertandingan ngadu dan sugandoi di dewan. Di kampung pula, kami tidak menyambut dari rumah ke rumah seperti di Sarawak. Sambutan Gawai di sini jauh lebih meriah,” jelasnya.

Bagi pasangan veteran, Saberi Bujang, 70, dan isterinya Sabtuyah Abdullah, 61, perbezaan budaya antara Melayu dan Iban bukanlah penghalang untuk membina keluarga bahagia.

Kini, mereka telah pun bergelar datuk dan nenek kepada 13 cucu serta moyang kepada seorang cicit.

Kisah-kisah tersebut mencerminkan bagaimana perkahwinan campur yang disemai dengan sikap saling hormat dan toleransi menjadi tonggak utama keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan