Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penjawat Awam Andriesse Ridu (kiri) dan Pekerja Swasta Nur Izyan Badar (kanan) ditemui semasa Program Perarakan Gawai Kampung Taee di Serian pada Ahad. Foto TVS

Gawai kukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Sarawak

SERIAN, 1 Jun: Tarikh 1 Jun setiap tahun menjadi detik paling dinantikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak untuk menyambut perayaan Hari Gawai dengan penuh kemeriahan dan rasa syukur.

Sambutan tersebut bukan sekadar perayaan budaya malah menjadi identiti penting masyarakat Dayak dalam meraikan berakhirnya musim menuai serta menghargai rezeki yang diperoleh.

Hari Gawai kini menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang turut bersama menyemarakkan tradisi tersebut.

Penjawat awam, Andriesse Ridu menyifatkan kebersamaan dalam menyambut Hari Gawai sebagai keunikan istimewa yang mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

“Hari Gawai tidak hanya diraikan oleh masyarakat Bidayuh tetapi turut disambut oleh kaum Iban, Cina, India dan Melayu yang tinggal di kampung ini. Perpaduan ini menggambarkan keistimewaan Sarawak yang mana semua bangsa boleh bergaul mesra dan bersama meraikan perayaan ini,” katanya.

Menurutnya, sambutan tahun ini lebih istimewa apabila sekumpulan pelancong dari Kuching yang menggemari percutian berkonsepkan perkhemahan atau glamping turut serta dengan mendirikan khemah di padang sekolah selama tiga hari.

“Mereka bersama penduduk kampung dan orang ramai berarak dan menyambut Gawai dalam suasana penuh keakraban,” jelasnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nur Izyan Badar berkata, Hari Gawai merupakan masa terbaik untuk memperagakan busana tradisional Dayak yang kaya dengan nilai sejarah dan rekaan penuh warna-warni.

“Kita dapat melihat pelbagai baju tradisional yang sangat indah dan unik. Ia bukan sahaja memperkenalkan budaya Dayak kepada pelancong malah membangkitkan rasa bangga dalam kalangan rakyat tempatan.

“Apabila semua kaum turut serta memakai pakaian tradisional ini, ia menzahirkan perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelawat dari Hungary, Renata Kardosine Kezer turut menyatakan kekagumannya terhadap semangat kebersamaan dan pemeliharaan adat resam masyarakat Dayak yang masih kukuh diamalkan hingga kini.

“Kami sangat teruja untuk mengenali warisan dan budaya masyarakat Dayak secara dekat. Sambutan ini memberi kami peluang memahami pemikiran, kehidupan dan sejarah mereka.

“Meskipun banyak yang kami baca, menyaksikannya secara langsung di kampung ini adalah pengalaman luar biasa,” jelasnya.

Renata turut menyifatkan Borneo dan masyarakat Dayak sebagai warisan dunia yang wajar dikenali dan dihargai masyarakat antarabangsa.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan