ANKARA / ISTANBUL, 1 Jun: Delegasi menteri Arab mengenai Gaza mengecam tindakan Israel yang enggan membenarkan kunjungan mereka ke Ramallah sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap tanggungjawabnya sebagai kuasa penjajah di bawah undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, delegasi itu berkata keputusan Israel menghalang kunjungan itu mencerminkan “keangkuhan pemerintah Israel, sikap tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa, serta pelaksanaan berterusan dasar dan langkah tidak sah yang menindas rakyat Palestin.”
Delegasi itu terdiri daripada menteri luar Arab Saudi, Mesir, Jordan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
Kunjungan yang sebelum ini ditangguhkan itu dijadual menyampaikan mesej sokongan politik kepada kepimpinan Palestin.
Delegasi berkenaan merupakan sebahagian daripada jawatankuasa menteri yang dibentuk semasa sidang kemuncak Arab-Islam di Riyadh dan kini turut membuat persediaan bagi satu persidangan damai antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pertengahan Jun di New York, dengan Saudi dan Perancis bertindak sebagai penganjur bersama.
Persidangan itu dijangka menumpukan usaha menghidupkan semula penyelesaian dua negara.
Kementerian Luar Palestin menegaskan bahawa larangan Israel itu “merupakan pelanggaran nyata terhadap kewajipan undang-undangnya sebagai kuasa penceroboh, pencabulan perjanjian yang ditandatangani, serta kesinambungan tindakan penindasan terhadap rakyat Palestin.”
Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Majdalani menyifatkan tindakan Israel itu “tidak mengejutkan daripada sebuah negara fasis.”
Dalam temu bual bersama Anadolu, beliau berkata sekatan itu adalah sebahagian daripada tekanan berterusan terhadap Pihak Berkuasa Palestin dan usaha untuk melemahkannya, disertai sekatan kewangan, pemecahan kawasan Tebing Barat, serta peningkatan penempatan haram sebagai sebahagian rancangan rampasan tanah secara de facto.- TVS