MIRI, 31 Mei: Karnival Sukan Highlanders 2025 yang memasuki edisi ke-25 tahun ini terus mengukuhkan peranannya sebagai platform mempererat silaturahim masyarakat Kelabit dari seluruh pelusuk negara, di samping mencungkil bakat muda serta melestarikan warisan budaya komuniti minoriti itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala berkata, penganjuran karnival yang berlangsung bersempena Gawai Dayak ini menjadi acara yang sangat bermakna khususnya kepada masyarakat Kelabit.
“Tujuan utama kita anjurkan karnival ini ialah untuk mengumpulkan semua ahli masyarakat Kelabit dari pelbagai tempat seperti Kuala Lumpur, Sabah, Kuching, Miri, Bintulu, Baram, Limbang dan Lawas. Inilah peluang untuk mengeratkan silaturahim dan merayakan Gawai bersama,” katanya ketika ditemui TVS di Kelab Golf Miri di sini, hari ini.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sekadar himpunan keramaian, malah turut memberi tumpuan kepada penglibatan generasi muda yang kebanyakannya membesar di bandar dan kurang terdedah kepada adat dan budaya sendiri.
“Melalui sukan moden dan tradisional serta persembahan kebudayaan, generasi muda kita dapat mengenali semula akar budaya dan warisan Kelabit yang perlu dikekalkan,” tambahnya.
Antara acara yang dipertandingkan termasuk bola sepak, badminton, golf, tarik tali, menyumpit dan lumba guni, manakala pada sebelah malam disajikan dengan persembahan seni dan muzik tradisional etnik Kelabit.
Tambahnya, penganjuran karnival ini turut menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan dan membantu anak-anak Kelabit mencapai potensi mereka.
“Ini adalah peluang untuk kita mengenal pasti bakat anak-anak muda dan mengajar mereka untuk menyertai pelbagai acara misalnya, sebelum ini ramai atlet berasal dari komuniti kita telah beraksi di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menghadiri Pesta Nukenan (Festival Makanan dan Budaya Bario) yang akan berlangsung di Bario pada 27 hingga 29 Julai 2025, sebagai satu lagi platform memperkasakan budaya Kelabit.
Dengan sambutan yang memberangsangkan dan penglibatan pelbagai lapisan umur, karnival ini terus menjadi simbol kekuatan identiti komuniti serta aspirasi belia untuk masa depan yang lebih cemerlang. – TVS