KUCHING, 31 Mei : Kenaikan harga tiket penerbangan setiap kali musim perayaan terus menjadi keluhan utama rakyat Sarawak, khususnya mereka yang merantau di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar yang ingin pulang ke kampung seperti sempena sambutan Gawai Dayak, esok.
Bagi Syafiq Malik, seorang pelajar dari Padawan, isu harga tiket ini menjadi cabaran tahunan yang membebankan kewangan keluarga.
“Setiap kali musim perayaan, harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak sangat mahal. Kos pergi balik boleh mencecah lebih RM1,000,” katanya kepada pemberita TVS hari ini.
Jelasnya, keluarganya terpaksa menggunakan simpanan kecemasan untuk menampung kos pulang ke kampung dan berharap kewujudan AirBorneo dapat memberi lebih banyak pilihan tambang mampu milik kepada perantau.
Bagi Yeremia Padan Langub, seorang pekerja swasta berbangsa Orang Ulu, penerbangan tetap menjadi pilihan utama meskipun kosnya tinggi.
“Saya pernah memandu balik ke kampung, tetapi ia memenatkan dan mengambil masa yang lama. Jadi saya pilih untuk terbang walaupun harganya mahal,” ujarnya.
Sementara itu, Nurasyima Hasim, seorang pelajar berketurunan Iban yang menuntut di Selangor, turut menyuarakan harapan agar AirBorneo dapat membantu anak-anak perantau sepertinya.
“Setiap kali Gawai memang kami rindu kampung, tapi sebagai pelajar bajet sangat terhad. Harap sangat AirBorneo dapat sediakan tiket yang lebih murah,” katanya.
Bagi sesetengah penumpang seperti Michael Bantan, harga tiket yang tinggi tidak pernah menghalang kepulangan, meskipun terpaksa membelinya pada saat akhir.
“Sekarang ni, tiket dari Kuching ke Bintulu pun dah mahal. Saya harap AirBorneo bukan sahaja tawarkan tambang murah, tapi juga perluas laluan ke kawasan pedalaman seperti yang pernah dilakukan MASwings dulu,” katanya.
Wella Sylvianna Sylvester pula berkongsi bahawa beliau hanya mampu pulang ke Sabah setahun sekali kerana kos perjalanan yang tinggi. Berketurunan campuran Kadazan dan Bidayuh, dan kini menetap di Sarawak selepas berkahwin dengan lelaki Iban dari Kuching, Wella menyambut Gawai tahun ini di Kuching sahaja.
“Saya hanya mampu buat persiapan awal di sini. Kalau tiket lebih murah, duit itu boleh digunakan untuk beli buah tangan atau pakaian buat keluarga di kampung,” jelasnya.
Bagi kebanyakan rakyat Sarawak yang menetap di luar negeri, kepulangan semasa musim perayaan bukan soal kemewahan, tetapi lambang kasih sayang, tanggungjawab, dan ikatan keluarga.
Maka tidak hairanlah kewujudan AirBorneo dilihat sebagai lebih daripada sekadar syarikat penerbangan malahan ia adalah harapan jangka panjang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan budaya tanpa dibebani kos yang tinggi.
AirBorneo, syarikat penerbangan milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak, dijangka memulakan operasi pada tahun 2026 selepas pengambilalihan MASwings.
Syarikat ini disasarkan untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau serta menawarkan tambang yang lebih berpatutan, terutamanya kepada golongan B40 dan pelajar.- TVS