SARIKEI, 31 Mei: Ketiadaan pili bomba berdekatan menyukarkan operasi memadam kebakaran sebuah rumah dua tingkat jenis kekal di Jalan Lok Lee, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.01 petang itu, sepasang suami isteri yang berada di dalam rumah ketika kejadian dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati rumah terbabit terbakar di bahagian tingkat atas membabitkan kemusnahan sebanyak 50 peratus manakala tingkat bawah tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah defensif dan ofensif.
“Anggota bomba membentang satu aliran salur bantu mula dan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air menggunakan sumber air terbuka dari parit berhampiran.
“Namun operasi berdepan cabaran apabila tiada pili bomba berhampiran lokasi kejadian menyebabkan kami bergantung sepenuhnya kepada sumber air terbuka,” ujarnya.
Beliau berkata, kerja overhaul turut dilakukan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. – TVS