MADRID, 31 Mei: Shaikha Al Nowais bakal menjadi wanita pertama memegang jawatan Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) dalam tempoh 50 tahun penubuhan organisasi itu, lapor Xinhua.
Pencalonan beliau disahkan semasa mesyuarat ke-123 Majlis Eksekutif, yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat di pinggir bandar bersejarah Segovia, tengah Sepanyol.
Sekiranya pencalonan itu disahkan, Al Nowais dari Emiriah Arab Bersatu akan memulakan tugas pada 2026, menggantikan Zurab Pololikashvili yang telah berkhidmat sejak 2018.
Menurut laman sesawang peribadinya, Al Nowais merupakan tokoh korporat terkemuka dalam industri pelancongan dan hospitaliti global.
Memiliki kelulusan dalam bidang kewangan, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden Korporat di Rotana Hotels.
Beliau kini mengetuai Kumpulan Kerja Pelancongan Dewan Perniagaan Abu Dhabi serta menganggotai lembaga Dewan Usahawan Wanita Abu Dhabi dan Akademi Hospitaliti Les Roches.
Dalam ucapannya, Pololikashvili berkata UN Tourism telah melalui fasa transformasi besar sepanjang lapan tahun lepas.
“Kami meletakkan pelancongan di barisan hadapan agenda global, meningkatkan daya saing dan nilai ekonominya.
“Sepanjang perjalanan ini, kami kekal fokus terhadap keutamaan utama: pendidikan, pelaburan, kemampanan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita, teknologi baharu dan peluasan antarabangsa,” katanya. – TVS