OSAKA, 31 Mei: Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersejarah sempena World Expo Osaka 2025 yang memberi fokus kepada peralihan tenaga dan ketersambungan serantau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, MoU tersebut merupakan langkah penting dalam menyokong Asia Zero Emission Community (AZEC) serta memperkukuh usaha mencapai pengurangan karbon, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga di Asia.
“Perjanjian ini adalah untuk mengukuhkan usaha mencapai pengurangan karbon, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga di Asia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili dan Ketua Kumpulan Infrastruktur Alam Sekitar dan Kewangan JBIC, Sekine Hiroki, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak dalam peralihan tenaga global.
Majlis tandatangan turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Liew Chin Tong. – TVS