KUCHING, 31 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datin Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyeru seluruh rakyat terutamanya masyarakat Dayak menyambut perayaan Gawai dengan penuh kesyukuran dan perpaduan.
Dalam Perutusan Khas Hari Gawai Dayak 2025, Tun Dr Wan Junaidi mengimbau sejarah Hari Gawai Dayak yang diisytiharkan sebagai perayaan rasmi sejak 1965 hasil usaha pemimpin terdahulu memartabatkan budaya Dayak.
“Setiap 1 Jun, masyarakat Dayak bersatu hati meraikan Hari Gawai sebagai lambang kesyukuran atas hasil tuaian sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memelihara warisan budaya yang berharga,” katanya.
Beliau menyeru agar tradisi seperti ngajat, ruai, ai pengayu dan gotong-royong terus dipelihara sebagai identiti budaya.
Tun Dr Wan Junaidi juga menekankan kepentingan pendidikan sebagai teras kemajuan masyarakat sambil memuji usaha Kerajaan Sarawak dalam memastikan anak-anak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan berkualiti.
“Harapan saya agar ibu bapa terus menitikberatkan pendidikan demi kejayaan dan masa depan anak-anak,” ujarnya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga komited membangunkan infrastruktur sekolah daif dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan serta bekalan air bersih dengan lebih 200 projek diluluskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau turut menghargai peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu masyarakat melalui program pendidikan, kesihatan dan pemuliharaan budaya Dayak.
Menjelang musim perayaan, Tun Dr Wan Junaidi mengingatkan orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Sambutlah perayaan ini dengan kesederhanaan, bertanggungjawab dan utamakan keselamatan demi kesejahteraan keluarga serta masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Sarawak mengekalkan keharmonian dan memperkukuh perpaduan demi kemakmuran wilayah ini.-TVS