SERIAN, 31 Mei: Pekebun kecil di kawasan pedalaman Sarawak menyatakan penghargaan terhadap bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang telah membantu mereka meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan sejak tahun 2023.
Menurut Tuai Rumah Guang Latip, 68, peruntukan yang diterima membolehkan komuniti pekebun melaksanakan semula projek tanaman getah dan pada masa sama memperluaskan penanaman lain seperti nanas, serai dan tembikai.
“Tahun 2023 kami mula semula tanaman getah dengan bantuan kerajaan. Lebih 100 peserta terlibat dan selain itu, kami juga dibantu untuk tanaman lain seperti buah-buahan dan juga membuka kedai runcit di rumah panjang.
“Perubahan paling ketara yang berlaku sejak menerima bantuan adalah hasil tanaman sawit dan buah-buahan yang lebih cepat memberi pulangan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui TVS selepas katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra Gawai RISDA Negeri Sarawak 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Kaunselor Daerah Siburan, Alang Dawi, 54, memaklumkan bahawa bantuan RISDA turut meliputi pembersihan kebun dan pemberian tunai berjumlah antara RM6,000 hingga RM20,000 kepada setiap peserta.
Beliau turut menyuarakan rancangan untuk membuka depo dan kilang di kawasan Kota Samarahan bagi menampung pengeluaran hasil yang semakin bertambah.
“Peserta menerima bantuan antara RM6,000 hingga RM20,000. Bantuan ini termasuk penanaman pisang yang mampu menjana pendapatan tambahan sehingga RM400.
“Saya sudah berbincang dengan pegawai RISDA dan mereka bersetuju untuk pertimbangkan pembukaan kilang. Kawasan yang terlibat sekarang sangat luas dan perlu sokongan infrastruktur,” katanya.
Bagi pekebun kecil Assin Akin, bantuan RISDA jelas membuahkan hasil apabila tanaman seperti serai, pisang dan getah menunjukkan perkembangan positif.
“Tanaman getah memang mengambil masa, namun kini sudah lebih dua tahun dan menunjukkan perkembangan yang baik. Tanaman lain juga telah mula berhasil.
“Saya berasa sangat gembira apabila melihat hasil yang semakin memberangsangkan,” katanya.
Menurutnya, beliau memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM200 sebulan hasil daripada jualan di Pasar Komuniti Stutong. – TVS