KUCHING, 31 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan pendidikan adalah senjata paling berkesan untuk memacu kemajuan masyarakat Dayak khususnya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Ekonomi Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bersifat inklusif dan memberi manfaat menyeluruh tanpa mengira agama, keturunan atau lokasi geografi.
“Saya yakin pendidikan adalah cara paling ampuh untuk membawa setiap kaum di wilayah ini mengecapi pembangunan bersama-sama.
“Inisiatif pendidikan percuma di peringkat universiti (Free Tertiary Education Scheme – FTES) yang akan bermula tahun hadapan bertujuan membuka peluang kepada anak Sarawak tanpa kebimbangan tentang kemampuan kewangan keluarga,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai Dayak 2025.
Beliau menambah, pelajar dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan akan menerima yuran percuma dan elaun tahunan RM15,000 sekali gus mengurangkan beban kewangan golongan B40.
Abang Johari turut berkata, tumpuan akan diberikan kepada bidang strategik yang menjamin kebolehpasaran graduan selaras keperluan ekonomi masa depan Sarawak termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, undang-undang, kewangan, perakaunan dan psikologi.
“Jurusan-jurusan ini akan mempersiapkan anak Sarawak untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan berteraskan teknologi,” ujarnya.
Selain itu, beliau menyentuh mengenai penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memberi akses pendidikan bertaraf dunia kepada anak-anak cemerlang daripada semua latar belakang, khususnya anak petani, nelayan dan golongan B40.
“Saya yakin ramai anak Sarawak akan berpeluang diterima ke universiti ternama seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di UK serta Universiti Stanford di Amerika Syarikat,” ujarnya.-TVS